ad
AGENDA

APMM rekod 340 kes jenayah, antaranya seludup dadah dan pendatang asing

17 Mei 2022, 4:47 AM
APMM rekod 340 kes jenayah, antaranya seludup dadah dan pendatang asing

PUTRAJAYA, 17 MEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan sejumlah 340 kes melibatkan aktiviti jenayah maritim dari Januari hingga April lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata ia merangkumi jenayah penyeludupan dadah, ketum, barang kawalan bersubsidi, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Beliau berkata nelayan asing yang kebiasaannya menceroboh perairan Kelantan dan Terengganu juga dilihat semakin berani “turun” hingga ke Pulau Tioman kerana mereka mahir tentang laluan perairan negara, malah dipercayai wujud sindiket melibatkan tekong darat warga tempatan.

Katanya kerjasama pelbagai agensi seperti dalam Op Benteng ketika negara dilanda pandemik COVID-19, perlu diperluaskan dalam aspek perkongsian maklumat dan penambahbaikan teknologi bagi membolehkan setiap agensi mempertingkatkan perancangan serta keupayaan masing-masing.

"Kita melihat perlunya persefahaman, kesepakatan serta kolaborasi antara agensi terlibat dalam aspek penguatkuasaan dan perundangan Akta Maritim.

“Ini bagi mewujudkan keseragaman pelaksanaan secara kolektif, sekali gus mengatasi 'grey area' yang membabitkan keselarasan penguatkuasaan serta pertindihan kuasa," katanya kepada media selepas melancarkan Seminar Penguatkuasaan Maritim di sini, hari ini.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.