ad
AGENDA

Pemandu SUV halang ambulans beri keterangan, alami masalah pendengaran

15 Mei 2022, 1:08 PM
Pemandu SUV halang ambulans beri keterangan, alami masalah pendengaran

KAMPAR, 15 MEI: Polis akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuh Raya Utara - Selatan arah utara, seperti tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata pemandu dan pemilik kenderaan telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pada 5 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

"Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan yang juga seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran iaitu tinnitus – acoustic neuroma sejak tiga tahun lepas.

"Lelaki berkenaan masih lagi mendapat rawatan lanjut daripada pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular di media sosial mengenai tindakan pemandu SUV jenis Honda CRV yang memandu di lorong kanan sehingga menghalang ambulans di belakangnya yang turut membunyikan siren dan hon sekali gus pemandu ambulans itu terpaksa memotong melalui laluan kiri.

Insiden itu turut menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi video di akaun Twitternya dan menyifatkan tindakan pemandu berkenaan sebagai mementingkan diri.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.