ad
AGENDA

Kerajaan Selangor bantu pembersihan, pemuliharaan Pulau Redang dan Tioman

14 Mei 2022, 1:03 AM
Kerajaan Selangor bantu pembersihan, pemuliharaan Pulau Redang dan Tioman

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan Negeri akan menjalankan pembersihan dan pemuliharaan di Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu serta Pulau Tioman, Pahang menerusi program Ocean Cleanup.

EXCO permodenan dan asas tani, Ir Izham Hashim berkata program di tiga lokasi itu diadakan pada tahun ini iaitu bermula di Pulau Redang pada bulan ini diikuti Pulau Tenggol (Julai) dan Pulau Tioman (Ogos).

"Di bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG) sejak 2016 kita menguruskan kerja pembersihan termasuk 'Ocean Cleanup' di mana ia berperanan supaya sampah tidak masuk ke laut yang dilakukan di Sungai Klang sebelum ini.

"Apabila ada usaha seperti ini kita akan terlibat sama, kita telah berhubung dengan kerajaan Pahang serta Terengganu dan mendapat sokongan yang baik untuk sama-sama menjalankan pembersihan di pulau-pulau berkenaan," katanya kepada SelangorKini.

Katanya Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Landasan Lumayan Sdn Bhd, Berjaya Corporation Berhad dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) Universiti Kebangsaan Malaysia turut bersama menjalankan program itu nanti.

"Sebanyak 30 individu akan terlibat dalam program ke pulau-pulau ini dan ini usaha Kerajaan Selangor dalam menunjukkan komitmen berterusan dalam memulihara alam sekitar," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.