SHAH ALAM, 13 MEI: Sebanyak 90.5 peratus daripada 2,578 graduan Universiti Selangor (Unisel) mendapat tempat dalam pasaran kerja tahun lalu, kata presiden dan naib canselornya.
Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman berkata penuntut fakulti komunikasi, seni visual dan pengkomputeran merekodkan bilangan tertinggi diterima bekerja sebaik menamatkan pengajian.
"Pencapaian ini disumbangkan oleh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan seperti penggabungan beberapa fakulti pada 2016.
"Di kampus Shah Alam kini terdapat dua fakulti iaitu perniagaan dan perakaunan serta sains kesihatan manakala lima fakulti di kampus induk Bestari Jaya," katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran Selangor Mega Job Fair dan selangorjobportal.com.my yang disempurnakan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohammad Redzuan berkata Unisel sentiasa berusaha melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan kritis bagi mempersiapkan mereka sebelum menempuh alam pekerjaan yang lebih mencabar.
"Sebagai contoh apabila sebahagian besar peperiksaan akhir dibuat melalui kaedah buka buku yang secara tidak langsung membolehkan mereka berfikiran kreatif tanpa perlu menghafal," katanya.
Beliau turut mempelawa pihak korporat dan industri untuk bekerjasama dengan Unisel bagi memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman sebelum memasuki dunia pekerjaan.