ad
ADN

Rumah terbuka Aidilfitri DUN Morib bantu ekonomi penduduk setempat

10 Mei 2022, 10:00 AM
Rumah terbuka Aidilfitri DUN Morib bantu ekonomi penduduk setempat

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis rumah terbuka Aidilfiti Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib bukan hanya meraikan masyarakat sebaliknya turut membantu ekonomi penduduk.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata pihaknya akan membeli air tangan dihasilkan penduduk setempat untuk dihidangkan pada majlis yang berlangsung pada 29 Mei nanti.

“Langkah ini membantu menaikkan ekonomi penduduk selepas terkesan teruk akibat penularan Covid-19. Antara makanan dibeli lemang, ketupat dan rendang.

“Tahun ini kita mahu raikan Aidilfitri bersama-sama masyarakat sekitar selepas dua tahun terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Kita jangka 2,000 tetamu akan hadir,” katanya kepada SelangorKini.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata pihaknya juga menganjurkan acara cabutan bertuah serta persembahan nyanyian untuk memeriahkan lagi sambutan raya.

Sementara itu Halimey Abu Bakar berkata sambutan Aidilfiti DUN Seri Setia diadakan pada 15 Mei di Mentari Business Park di PJS 8, Subang Jaya.

Majlis dimeriahkan dengan 10 gerai makanan yang dikendalikan Ahli Majlis, Wanita Berdaya Selangor, Penggerak Belia Selangor serta Ketua Komuniti India.

“Gerai ini akan menyediakan makanan raya dan turut dihias cantik. Tiga gerai terbaik akan menerima hadiah. Program bermula 3 hingga 5 petang dan jangkaan seramai 2,000 tetamu akan hadir,” katanya.

Tahun ini Kerajaan Selangor turut merancang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di setiap daerah bagi meraikan rakyat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.