ad
BERITA UTAMA

Sut PPE jadi baju raya, petugas kesihatan perah keringat selamatkan nyawa

3 Mei 2022, 9:00 AM
Sut PPE jadi baju raya, petugas kesihatan perah keringat selamatkan nyawa
Sut PPE jadi baju raya, petugas kesihatan perah keringat selamatkan nyawa
Sut PPE jadi baju raya, petugas kesihatan perah keringat selamatkan nyawa
Sut PPE jadi baju raya, petugas kesihatan perah keringat selamatkan nyawa

SHAH ALAM, 3 MEI: Bermula tiga kes pertama Covid-19 di negara pada 25 Januari 2020, penularan wabak itu terus berleluasa dengan kemunculan varian lebih berbahaya seperti Delta yang cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) serta hospital sesak dengan pesakit, paling terkesan tentunya petugas kesihatan yang ada kalanya perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi tempoh lama termasuk ketika perayaan.

Dua petugas kesihatan mengimbau pengalaman mereka kepada wartawan, Amin Ridzuan Ishak ketika Aidilfitri tahun lalu yang waktu itu merekod hampir 4,000 kes harian dalam keadaan tanpa vaksin.

Pada malam Aidilfitri tahun lalu, Dr Naufa Azahari sepatutnya bersama keluarga meraikan lebaran kerana diberikan cuti selepas berhempas pulas mengurus pesakit di PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

Mengikut perancangan awal, mereka akan berkumpul di kediaman kakaknya di Puncak Alam untuk berbuka puasa serta bertakbir. Saat itu sememangnya dinantikannya lebih-lebih lagi sudah enam tahun tidak mendapat cuti Syawal selain terpaksa meraikan jauh daripada keluarga kerana bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

[caption id="attachment_519532" align="alignleft" width="331"] Dr Naufa Azahari[/caption]

Dr Naufa yang berusia 33 tahun mula berkhidmat di Hospital Sungai Buloh pada Januari tahun lalu, ditugaskan ke pasukan khas menguruskan kes rujukan dari pusat penilaian Covid-19 (CAC) dan pusat kesihatan daerah sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Namun, beliau mengubah jadual dan perancangan itu. Seawal jam 7.30 pagi, Dr Naufa melangkah ke CAC Stadium Malawati yang mula beroperasi pada 8 Februari 2021 untuk memeriksa tahap kesihatan pesakit sekitar daerah Petaling.

Mengenakan sut perlindungan diri (PPE), Dr Naufa membantu rakan-rakan menguruskan pesakit sebagai sukarelawan daripada Pasukan Tindak Balas dan Penyelamat IMAM (IMARET). Beliau bertugas sehingga jam 8 malam, selepas stadium itu lengang.

Apabila beliau pulang ke kediamannya di Seksyen 27, Shah Alam, kedua-dua orang tuanya dan adik-beradik lain tiada di rumah. Hanya gambar keluarga berkumpul di telefon pintar menjadi tatapan.

"Memang sedih tetapi rasa serba salah kerana ketika saya boleh berehat tetapi kawan-kawan lain pula bertungkus lumus, pada waktu itu kes Covid-19 tinggi terutama Selangor.

"CAC Stadium Malawati sahaja perlu urus 700 ke 800 pesakit sehari sedangkan petugas tidak ramai, tidak apalah saya korban waktu rehat...keluarga pun faham," katanya yang turut membantu menguruskan kes Covid-19 selama sebulan di Semporna, Sabah pada Oktober lalu.

Hanya pada keesokan harinya, baru Dr Naufa dapat meluangkan masa bersama keluarganya menyambut lebaran. Peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk bersama insan tersayang kerana pada hari kedua Syawal, beliau harus kembali bertugas di PKRC.

Penat urus ramai pesakit

Walaupun sibuk menguruskan pesakit, namun 'mood' Aidilfitri masih ada. Hidangan khas seperti rendang ada disediakan selain dibawa oleh petugas lain. Beliau turut ‘menggayakan’ baju raya khas ketika itu.

"Tidak perlu pening cari baju raya," kata Dr Naufa berseloroh ketika berkongsi gambar PPE tertulis 'Baju Raya Selamat Hari Raya' yang dipakainya ketika Syawal kedua kepada Selangorkini.

Jelasnya, sebagai petugas kesihatan dirinya perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk bekerja ketika Aidilfitri. Dipanggil menguruskan kes kecemasan ketika perayaan menjadi sebahagian asam garam kehidupannya.

"Seperti raya ketika era penularan Covid-19 di PKRC, memang penat kerana perlu urus ramai pesakit tetapi ia harus dilakukan kerana kita berdepan krisis pada masa itu,"katanya.

Di sebalik kesukaran itu, hati Dr Naufa juga lega apabila inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang disifatkannya membantu mengurangkan beban petugas kesihatan.

Jelasnya, aplikasi yang dibangunkan Dr Helmi Zakariah mempunyai ciri khas membolehkan pesakit Covid-19 sedang menjalani kuarantin melaporkan keadaan kesihatan semasa. Selepas itu barulah aplikasi MySejahtera memperkenal ciri sama.

"Bila pesakit laporkan keadaan mereka secara harian menerusi aplikasi itu, mudah petugas kesihatan pantau dan hubungi mereka sekiranya ada kecemasan seperti penurunan kadar oksigen," katanya.

Ketika mula dibangunkan pada 2020, aplikasi itu berfungsi sebagai penjejak kontak rapat bagi mengelakkan penularan Covid-19. Namun, peranannya semakin luas antaranya memudahkan orang ramai memohon suntikan vaksin bawah program Vaksin Selangor (Selvax).

Sebak dengar takbir

Bagi Maisarah Saturi, 27, pembantu perubatan dari Hospital Sungai Buloh pula, hati terusik mengenangkan keluarganya yang berada di rumah di Saujana Utama, Kuala Selangor sebaik sahaja mendengar laungan takbir raya ketika bertugas di salah sebuah dewan rawatan di PKRC pada malam Aidilfitri.

Beliau yang mengandung anak kedua ketika itu bertugas syif malam bermula 9 malam hingga 7 pagi sehingga hari pertama Syawal. Tugasnya untuk mencatat rekod peribadi dan tahap kesihatan setiap pesakit dirujuk ke dewan tempatnya bertugas, majoritinya warganegara asing.

[caption id="attachment_519531" align="alignright" width="309"] Maisarah Saturi[/caption]

"Memang tersentuh juga hati bila dengar takbir raya, kalau berada di rumah sudah tentu dapat bersama keluarga di malam Aidilfitri dan buat persiapan.

"Sedih juga lihat ada pesakit menangis, kita faham dugaan mereka...sudahlah berjauhan dengan keluarga, diuji pula wabak Covid-19," katanya yang bertugas di unit jantung Hospital Sungai Buloh.

Seperti Dr Naufa, Maisarah juga sudah bersedia bekerja ketika perayaan. Namun tugasnya ketika Syawal tahun lalu lebih mencabar kerana berdepan lebih ramai pesakit. Di unitnya sahaja, setiap hari antara 200 hingga 800 pesakit dirujuk.

"Ketika itu banyak jangkitan di tempat kerja membabitkan warganegara asing, mereka ditempatkan di dewan kami dan saya akui memang ada pelbagai ragam dan kekangan antaranya komunikasi.

"Cabarannya kena urus ramai pesakit, lain semuanya tiada masalah. Lagipun Kementerian Kesihatan buat prosedur baik dalam melindungi kami daripada dijangkiti virus itu," katanya.

Sama seperti petugas kesihatan lain, Dr Naufa dan Maisarah berharap tiada lagi penularan besar-besaran Covid-19 dan ramai pesakit kronik dirujuk ke hospital pada tahun ini.

Justeru, mereka menaruh harapan supaya masyarakat lebih berhati-hati. Amalan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal harus terus diamalkan meski negara memasuki fasa peralihan endemik mulai 1 April lalu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.