ad
AGENDA

Pembersihan LRA capai 59 peratus, bekalan air diagih tengah malam ini

30 Apr 2022, 2:23 PM
Pembersihan LRA capai 59 peratus, bekalan air diagih tengah malam ini

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kerja pembersihan dan proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sedang giat dilaksanakan dan mencapai tahap 59 peratus setakat 9 malam.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bekalan air bersih akan disalurkan secara berperingkat mulai tengah malam ini kepada premis pengguna terjejas.

"Bekalan air di kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya jam 3 petang, 1 Mei 2022.

"Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas bergantung jarak lokasi premis

pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan," kata syarikat itu dalam kenyataan malam ini.

Syarikat pembekal air itu menambah bantuan alternatif melalui lori tangki masih digerakkan dengan

keutamaan kepada premis kritikal selain berusaha meminimumkan dampak gangguan.

Pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, hubungi pusat perhubungan di talian 15300 atau layari www.airselangor.com untuk perkembangan semasa bekalan air.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau yang dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir jam 12.15 tengah hari tadi.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Senarai lengkap kawasan terjejas dan status pemulihan dimuatkan di Facebook Air Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.