ad
AGENDA

HARAPAN sokong kenyataan ketua hakim, pastikan badan kehakiman bebas

28 Apr 2022, 5:32 AM
HARAPAN sokong kenyataan ketua hakim, pastikan badan kehakiman bebas

SHAH ALAM, 28 APRIL: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyifatkan tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman mutakhir ini agak keterlaluan.

Majlis Presiden mengingatkan perkara 4.1 dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan persekutuan dan HARAPAN menyatakan dengan jelas kebebasan badan kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa.

"Maka HARAPAN mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman.

"Oleh itu, kami menggesa kerajaan persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman," katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Jelas Majlis Presiden HARAPAN, badan kehakiman yang bebas tunjang kepada negara dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.