ad
AGENSI

Program jualan murah kedua DUN Sungai Kandis bantu rakyat terus berjimat

24 Apr 2022, 10:00 AM
Program jualan murah kedua DUN Sungai Kandis bantu rakyat terus berjimat
Program jualan murah kedua DUN Sungai Kandis bantu rakyat terus berjimat

KLANG, 24 APRIL: Jualan murah barangan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis meringankan beban masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah.

Wakil rakyatnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata menerusi program diadakan kali kedua ini masyarakat dapat terus membeli keperluan harian seperti ayam, daging dan ikan pada harga murah berbanding di pasaran.

“Harga ditawarkan banyak membantu meringankan perbelanjaan penduduk khususnya mereka berpendapatan rendah.

“Terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan diharap diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

[caption id="attachment_518352" align="alignright" width="380"] Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Kota Raja, Klang pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Beliau ditemui pada Program Jualan Prihatin Rakyat di parkir Masjid Kota Raja bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Sempena Aidilfitri ini, jualan murah barangan asas secara besar-besaran akan bermula esok sehingga 2 Mei di 29 lokasi seluruh Selangor.

Berhubung perkara itu, Mohd Zawawi yang juga EXCO Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya akan menguar-uarkan program tersebut kepada masyarakat setempat.

“Ini usaha kita dalam membantu rakyat supaya lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.