ad
AGENSI

Tiga pusat beli-belah di Bangi terlibat jelajah Kupon Infaq Ramadan

23 Apr 2022, 7:51 AM
Tiga pusat beli-belah di Bangi terlibat jelajah Kupon Infaq Ramadan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) meneruskan siri jelajah Kupon Infaq Ramadan di tiga pusat beli-belah di Bangi, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata tiga pusat beli-belah tersebut di Kompleks PKNS Bangi, KIPMall Bangi dan Evo Mall Bangi.

“Buat julung kalinya, kutipan kupon infaq memasuki pusat beli belah berbanding tahun sebelum ini di kaunter masjid.

“Ini adalah sebahagian usaha dalam meningkatkan kutipan. Setakat ini, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun ini, Yide menyasarkan kutipan kupon infaq berjumlah RM1.5 juta pada Ramadan kali ini melibatkan lima daerah iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang, Petaling dan Sepang.

Diperkenal sejak 2017, kupon infaq bernilai RM2 diserah melalui ketua penolong amil fitrah dan penolongnya sebagai alternatif orang ramai menyalurkan infaq sepanjang Ramadan.

Kutipan itu bagi membantu kumpulan sasaran yayasan terbabit antaranya mangsa musibah, pesakit dialisis di pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor dan anak yatim.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.