ad
AGENDA

Ahli ekonomi: Bijak urus duit KWSP, elak berlebih buat persiapan raya

22 Apr 2022, 9:43 AM
Ahli ekonomi: Bijak urus duit KWSP, elak berlebih buat persiapan raya

SHAH ALAM, 22 APRIL: Orang ramai terutama pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran khas RM10,000 dinasihatkan berbelanja dengan bijak menjelang Aidilfitri.

Ketua penganalisis ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad berkata tujuan KWSP memperkenalkan beberapa skim istimewa bagi membantu rakyat atau ahlinya yang terkesan akibat Covid-19.

"Perkara ini memberi manfaat kerana mereka yang terkesan gembira dan akhirnya diterjemah kepada peningkatan produktiviti. Bagaimanapun, jangan membazir sebab sepatutnya duit itu untuk bersara.

"Gunakan dengan sebaiknya dan jangan beli benda yang tidak berfaedah," kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pada program Bual Bicara Aidilfitri 2022: Rakyat Perlu Bijak Berbelanja di Facebook Media Selangor hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai menyenaraikan perbelanjaan mengikut keutamaan supaya tidak berlebihan setelah dua tahun tidak menyambut raya susulan perintah kawalan.

"Senaraikan keutamaan seperti duit raya, kuih, hiasan rumah dan baju raya. Buat perkiraan setidak-tidaknya macam mana wang itu dibelanjakan.

"Tanpa perkiraan, mereka akan cenderung untuk belanja berlebihan. Kita nak elak perkara itu kerana tarikan berbelanja agak tinggi sebab sudah lama tidak beraya," kata Dr Mohd Afzanizam.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 diawalkan kepada 18 April yang dijangka selesai sebelum Aidilfitri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.