ad
BERITA UTAMA

MBPJ lancar album raya, promosi Petaling Jaya sebagai kota seni

21 Apr 2022, 12:30 AM
MBPJ lancar album raya, promosi Petaling Jaya sebagai kota seni

PETALING JAYA, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sebuah album raya berjudul 'Tahun Ini Raya' yang mempunyai enam lagu bertemakan Aidilfitri.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata idea penghasilan album itu dicetuskan oleh warga kerjanya menerusi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kebudayaan, Kesenian, Sosial dan Pelancongan.

"Salah satu tujuan kita hasilkan album ini adalah kerana mahu mempromosi Petaling Jaya sebagai sebuah kota seni dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama kakitangan.

"Penerbitan lagu raya ini juga mengetengahkan kreativiti penghasilan lagu yang bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran penggiat seni MBPJ dalam berkarya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan album raya dan meraikan penggiat seni MBPJ dalam majlis berbuka puasa semalam.

Menurutnya, penganjuran majlis itu juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada penggiat seni kerana memartabatkan dan memelihara kebudayaan seni di Petaling Jaya.

"Selain itu, majlis ini juga satu platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penggiat seni dan pengurusan tertinggi MBPJ," katanya.

Orang ramai boleh mendengarkan dendangan lagu raya hasil ciptaan warga kerja MBPJ menerusi album 'Tahun Ini Raya' menerusi semua platform media sosial pihak berkuasa tempatan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.