ad
AGENDA

Kerja baik pulih cerun di Taman Bukit Permai bermula Mei

16 Apr 2022, 2:00 PM
Kerja baik pulih cerun di Taman Bukit Permai bermula Mei

AMPANG, 16 APRIL: Kerja baik pulih kawasan cerun di tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini dijangka bermula bulan depan, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata ketika ini Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sedang melakukan kerja-kerja penstabilan tanah dan pembinaan cerun bagi memastikan kawasan itu selamat sebelum proses seterusnya dilaksanakan.

"Selepas semua ini selesai kita akan laksana proses baik pulih dengan kaedah terbaik. Kita akan mulakan selepas Aidilfitri iaitu pada Mei," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan bantuan kepada mangsa tanah runtuh Taman Bukit Permai 1 dan 2 di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Cheras Baru di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI Norita Mohd Sidek dan Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad.

Mengenai 15 rumah di Taman Bukit Permai 1 yang diarah dikosongkan, Amirudin berkata keputusan sama ada kediaman itu selamat untuk diduduki atau sebaliknya akan dimaklumkan dalam dua minggu lagi.

"Kalau selamat, penghuni boleh balik dan Kerajaan Negeri akan mulakan proses baik pulih cerun yang mengambil masa minimum tiga bulan atau sehingga lima bulan.

"Setakat ini, sebahagian daripada 70 buah rumah yang kita arahkan berpindah sudah dibenarkan pulang selepas proses pembersihan dilakukan," katanya.

Pada 11 Mac lalu berlaku kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang mengorbankan empat mangsa dan seorang lagi cedera ringan, manakala 15 kediaman serta 10 kenderaan terjejas.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.