ad
BERITA UTAMA

MBSJ arah kontraktor baiki jalan berlubang di Taman Puncak Jalil

7 Apr 2022, 11:15 AM
MBSJ arah kontraktor baiki jalan berlubang di Taman Puncak Jalil
MBSJ arah kontraktor baiki jalan berlubang di Taman Puncak Jalil

SHAH ALAM, 7 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengarahkan kontraktor membaik pulih segera jalan berlubang akibat projek penanaman paip air di Taman Puncak Jalil.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata pihak terbabit bersetuju dan mematuhi arahan tersebut dan kerja pembaikan akan bermula selewat-lewatnya hari ini.

"Sekiranya pihak kontraktor gagal mematuhi arahan, MBSJ akan melaksanakan pembaikan melalui kontraktor yang dilantik sendiri.

"Manakala, kos baik pulih akan dipotong daripada wang cagaran projek yang dikenakan kepada pihak kontraktor asal," kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_515782" align="alignleft" width="285"] Keadaan jalan yang rosak akibat projek penanaman paip air di Taman Puncak Jalil. Foto MBSJ[/caption]

Beliau menjelaskan kerja pemasangan paip sudah selesai sepenuhnya namun pembaikan jalan hanya boleh dibuat melalui kaedah ‘mill and pave’ (kopak dan tampal) selepas tempoh uji cuba bagi saluran paip dilaksana pada pertengahan April ini.

Taman Puncak Jalil berada dalam jajaran pemasangan paip air yang merupakan sebahagian pakej pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad melalui kontraktor dilantik iaitu Syarikat Suhati Sdn Bhd.

Untuk makluman dan aduan berhubung projek pemasangan paip ini, orang ramai boleh menghubungi kontraktor Suhati Sdn Bhd menerusi talian Ir Kamarudzaman Sakom (019-2747514), Khairon Nizam (012-7601778) dan Syaiful (019-3242707)

Pihak MBSJ juga boleh dihubungi melalui Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03-8024 7700.

Kenyataan MBSJ bagi menjawab laporan MalaysiaGazette bertarikh 4 April lalu bertajuk 'Penduduk Di Taman Puncak Jalil minta MBSJ atasi masalah jalan berlubang'.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.