ad
BERITA UTAMA

KK Super Mart dilantik ejen e-kupon, mudahkan beli kredit parkir

2 Apr 2022, 6:32 AM
KK Super Mart dilantik ejen e-kupon, mudahkan beli kredit parkir

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pasar raya KK Super Mart dilantik sebagai ejen rasmi e-kupon bagi Smart Selangor Parking (SSP) yang dikuatkuasakan di seluruh negeri mulai semalam.

Menurut EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han, usaha itu bagi membantu orang ramai yang tidak mempunyai aplikasi berkenaan untuk membeli kredit parkir.

"Mulai hari ini (semalam), seluruh Selangor akan menggunakan aplikasi digital untuk membuat pembayaran parkir. Tiada lagi kupon gores atau kupon kertas.

"Mereka yang tidak mempunyai aplikasi SSP boleh beli kredit parkir di KK Super Mart dan ejen e-kupon yang lain mulai hari ini (semalam)," katanya menambah lebih banyak ejen dilantik untuk kemudahan pengguna.

Bermula 1 April, bayaran parkir kereta di seluruh pihak berkuasa tempatan di Selangor dilaksana secara digital yang boleh dimuat turun di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store.

Pada 24 Mac, Ng Sze Han memaklumkan pemegang kupon kertas gores perlu mendaftar sebagai pengguna SSP untuk memindahkan baki nilai kupon kepada kredit bermula 26 Mac.

Sebanyak 29,391 kupon parkir kertas gores ditukar sejak hujung bulan lalu membabitkan nilai RM17,942.20.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.