ad
AGENDA

Bengkel inovasi Kuis, Unisel bantu perkasa pendidikan tinggi di Selangor

31 Mac 2022, 1:36 PM
Bengkel inovasi Kuis, Unisel bantu perkasa pendidikan tinggi di Selangor

SHAH ALAM, 31 MAC: Penganjuran Bengkel Rantai Nilai Inovasi 2021 (Bernas) bantu mencapai sasaran Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pendidikan tinggi di Selangor.

Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berkata selain Bernas yang diterajui bersama Universiti Selangor (Unisel) itu turut memperkasa inisiatif lain seperti Selangor Kerjaya, Selangor AutomotifTVET, Rakan Digital Selangor dan Selangor Freelancers.

"Saya percaya gandingan mantap kedua-dua IPT ini akan memberi impak yang lebih baik di dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor.

"Penglibatan pihak industri yang bertindak sebagai penceramah dan mentor, pelajar berpeluang menimba ilmu dan didedahkan secara langsung mengenai suasana sebenar alam pekerjaan," kata Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menerusi kenyataan.

Beliau berkata seramai 100 pelajar terbabit sepenuhnya secara maya di dalam program berkenaan.

"Kejayaan ini turut menjadi bukti kepada tahap kesediaan Kuis di dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya," katanya.

Bernas 2021 adalah sesi webinar berperingkat dan ianya terbahagi kepada tiga program berbeza yang dijalankan mulai 4 Disember 2021 hingga 6 Mac lalu.

Webinar ini bertujuan memberi gambaran pada peserta mengenai kepentingan dan cara-cara mengemukakan idea di dalam projek masing-masing serta mengasah kebolehupayaan peserta di dalam membentangkan projek mereka.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.