ad
BERITA UTAMA

Struktur binaan haram atas tanah kerajaan, rizab sungai diroboh

31 Mac 2022, 2:16 AM
Struktur binaan haram atas tanah kerajaan, rizab sungai diroboh

SHAH ALAM, 31 MAC: Beberapa struktur haram yang dibina atas tanah kerajaan di Taman Perindustrian Pandamaran, Klang dirobohkan dalam operasi bersepadu semalam.

Pegawai Daerah Klang berkata perobohan meliputi pagar perimeter, depoh lori, bengkel dan dua tandas yang dibangunkan persatuan kuil serta pengusaha kandang kambing.

Mohd Faizal Abdul Raji menjelaskan sebahagian struktur bengkel dan stor makanan ternakan pula dirobohkan secara sukarela oleh pemilik.

“Kita menerima aduan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung aktiviti pencerobohan tanah kerajaan di atas rizab sungai dan kawasan lapang di lokasi tersebut.

“Struktur ini menghalang kerja penyelenggaraan sungai oleh pihak JPS. Perobohan dan pembersihan kawasan rizab sungai membolehkan JPS menyelenggara sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata notis pencerobohan tanah kerajaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dikeluarkan kepada pemilik struktur tersebut pada 1 Julai 2021.

Menurutnya, pemilik turut diberikan tempoh selama tiga bulan untuk mengosongkan tapak secara sukarela, namun tempoh tersebut sudah tamat.

“Bagaimanapun, persatuan kuil sekali lagi memohon melanjutkan tempoh pengosongan tapak dan kita bersetuju memberikan lanjutan tempoh selama 14 hari.

“Pengusaha kandang kambing juga diberikan tempoh sama bagi membolehkan pengusaha memindahkan ternakan ke lokasi baru di Pulau Carey,” katanya.

Mohd Faizal menambah pihak terbabit menandatangani aku janji untuk mematuhi arahan mengosongkan tapak dalam tempoh dua minggu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.