ad
AGENDA

Fasa endamik: Kanak-kanak dibenar masuk stadium

30 Mac 2022, 3:42 PM
Fasa endamik: Kanak-kanak dibenar masuk stadium

PUTRAJAYA, 30 MAC: Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun akan dibenarkan masuk ke dalam stadium selaras dengan fasa peralihan endemik bermula 1 April ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata aktiviti makan dan minum di dalam stadium yang sebelum ini tidak dibenarkan, kini dibolehkan.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan apabila stadium dan pusat kejohanan membenarkan penonton makan dan minum, selain kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dibenarkan masuk. Sudah tentu kelonggaran ini disambut baik oleh orang ramai.

“Namun tatacara operasi piawai (SOP) untuk terus memakai pelitup muka jika tidak minum atau makan, serta penjarakan sosial perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Putrajaya Night Ride 2022 di sini malam ini.

Ahmad Faizal berkata Majlis Keselamatan Negara akan memperincikan lebih banyak kelonggaran SOP dalam masa terdekat.

Terdahulu, Ahmad Faizal melepaskan kira-kira 200 peserta program yang menyertai aktiviti berbasikal serta larian santai sejauh 10 kilometer, di sekitar Putrajaya.

Program inisiatif KBS itu, bertujuan memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan menerusi gaya hidup aktif dan sihat, termasuk dalam kalangan penjawat awam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.