ad
AGENDA

MB junjung kasih keprihatinan tuanku, jadi inspirasi tingkat agenda kesihatan

28 Mac 2022, 12:30 PM
MB junjung kasih keprihatinan tuanku, jadi inspirasi tingkat agenda kesihatan

SHAH ALAM, 28 MAC: Dato' Menteri Besar menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang berkenan berangkat melawat Makmal Invasif Kardiologi (ICL) Hospital Serdang hari ini.

Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung isu kesihatan rakyat menjadi inspirasi Kerajaan Negeri untuk sentiasa mengutamakan agenda kesihatan awam.

"Pelbagai inisiatif seperti Iltizam Selangor Sihat dan Program Vaksin Selangor adalah bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat," katanya menerusi Facebook.

Pagi tadi, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan meluangkan masa hampir dua jam melawat ICL Hospital Serdang dengan diiringi Dato' Menteri Besar. Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sultan Selangor menzahirkan rasa puas hati dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya untuk membangun hospital baharu serta menaik taraf hospital sedia ada di negeri ini.

Tuanku turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan penambahan fasiliti kesihatan seperti hospital baharu di Sepang dan Kapar serta menaik taraf hospital di Banting, Kajang dan Kuala Selangor.

Titah baginda, meskipun Selangor mempunyai rangkaian hospital swasta namun fasiliti kesihatan kerajaan sangat diperlukan untuk manfaat golongan miskin dan sederhana di bandar dengan jangkaan penduduk negeri mencapai tujuh juta orang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.