ad
AGENDA

Lulusan sekolah digital ada peluang kerja hingga luar negara

24 Mac 2022, 3:15 PM
Lulusan sekolah digital ada peluang kerja hingga luar negara

SHAH ALAM, 24 MAC: Penuntut Sekolah Digital Selangor (SDS) berpeluang meneroka peluang kerja lebih meluas termasuk di peringkat antarabangsa selepas tamat pengajian.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan mereka juga diberikan sijil pengiktirafan yang boleh digunakan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sijil ini boleh digunakan untuk mendapat kerja dalam negara dan antarabangsa selain memohon dengan syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta serta kerajaan,” kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) penubuhan SDS antara

Universiti Selangor dan The Hive Asia Tenggara di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.

Jelasnya, SDS yang dilancarkan Ogos ini menawarkan pengajian kursus jangka pendek, diploma dan ijazah sarjana muda dalam sektor pendigitalan dengan kos pengajian sebahagian ditanggung negeri.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian bergantung keperluan pelajar. Sebahagian kos pengajian juga ditanggung bagi meringankan beban pelajar,” kata Amirudin.

Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan penubuhan SDS melalui Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sebagai platform pembelajaran digital dan teknologi bagi memenuhi pasaran kerja dalam sektor itu.

Penjana Nasional dijangka memberi pelaburan sepadan bersama Kerajaan Selangor dan The Hive, selain menawarkan tenaga pengajar, binaan sistem pembelajaran hibrid terkini dan pemasaran digital kondusif.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.