ad
AGENDA

Selangor runding dengan pengendali MySejahtera isu sijil digital kena caj

19 Mac 2022, 10:45 AM
Selangor runding dengan pengendali MySejahtera isu sijil digital kena caj

GOMBAK, 19 MAC: Kerajaan Negeri sedang berunding dengan pengendali MySejahtera agar tiada caj dikenakan bagi mengeluarkan sijil digital penerima Vaksin Selangor (Selvax).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari yakin isu berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin sekali gus membolehkan 12,604 individu menerima pengesahan vaksin.

"Ini adalah hak rakyat dan pengendali MySejahtera terima bayaran untuk pembinaan aplikasi itu. Kita juga bayar sendiri untuk beri vaksin, jadi kenapa perlu caj itu ini?

"Sijil ini untuk kesepadanan data yang akan memudahkan MSejahtera. Saya harap menteri dan jabatan berkenaan akan bantu, kita masih dalam rundingan," katanya.

Ditemui selepas melancarkan rumah mampu milik di Batu Caves hari ini, Amirudin berkata program vaksin negeri membantu sekitar 350,000 orang mendapat suntikan pelalian.

"Kita bantu kerajaan persekutuan daripada segi perolehan dan mereka jimat RM700,000 kerana dari awal Selangor buat program vaksinasi, kita sudah beri 700,000 dos," katanya lagi.

Semalam, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan puluhan ribu individu yang lengkap dos vaksin melalui Selvax belum menerima sijil berdasarkan data Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) setakat 14 Mac.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.