ad
AGENDA

PBT digalak beli aset, mudahkan operasi menyelamat ketika bencana

19 Mac 2022, 1:40 AM
PBT digalak beli aset, mudahkan operasi menyelamat ketika bencana

SHAH ALAM, 19 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digalak membeli aset seperti bot atau peralatan menyelamat sebagai persediaan mendepani bencana.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata langkah itu juga bagi memastikan agensi berkenaan bertindak pantas dalam situasi kritikal terutama banjir.

"Kerajaan Negeri sentiasa cuba memperbetul dan memastikan urusan bencana atau kejadian kritikal diatur sebaik mungkin. Kita tidak mahu tragedi (banjir Disember) berulang lagi," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Menggulung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, beliau berkata PBT yang sudah membeli aset berkenaan ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Amirudin menambah skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) di setiap PBT juga bakal menjalani latihan khusus untuk mendepani insiden luar jangka.

"Antara tindakan lain ialah mengalihkan keperluan, aset ke kawasan selamat supaya boleh digunakan ketika diperlukan," katanya lagi.

Kejadian banjir pada Disember tahun lalu akibat hujan lebat luar biasa menyebabkan banyak kawasan di negeri ini ditenggelami air selama beberapa hari dan mengorbankan puluhan nyawa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.