ad
AGENDA

Sultan Selangor hargai 90 peratus rakyat lengkap dua dos, usaha laksana Selvax

14 Mac 2022, 2:39 AM
Sultan Selangor hargai 90 peratus rakyat lengkap dua dos, usaha laksana Selvax

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada rakyat negeri yang mencapai tahap pengambilan 90 peratus dua dos vaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pencapaian itu turut didorong pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) serta usaha Kerajaan Negeri melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri, Selvax Komuniti, Selvax Bergerak dan Selvax Remaja serta Selvax Booster.

“Beta ingin menasihati rakyat beta agar terus mematuhi tatacara operasi (SOP) ditetapkan walaupun negara kini sedang membuat persediaan untuk beralih ke fasa endemik.

“Suka untuk beta mengingatkan agar seluruh rakyat terus mengamalkan aktiviti gaya hidup sihat sebagai usaha pencegahan kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain," titah tuanku sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menyeru rakyat supaya memanfaatkan program saringan kesihatan yang bakal dilaksana Kerajaan Negeri.

"Program ini penting dalam langkah pengesanan awal penyakit berisiko seterusnya memastikan rawatan dan usaha penyembuhan lebih cepat," titah baginda.

Bulan lalu EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan Program Saringan Kesihatan Percuma menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula bulan ini.

Program percuma itu memfokuskan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk membolehkan orang ramai mengesan penyakit lebih awal.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.