ad
AGENSI

Sidang dewan negeri esok, DYMM Sultan Selangor sempurnakan istiadat pembukaan

13 Mac 2022, 12:00 PM
Sidang dewan negeri esok, DYMM Sultan Selangor sempurnakan istiadat pembukaan

SHAH ALAM, 13 MAC: Persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 dijadual berlangsung selama dua minggu di Bangunan Annex di sini mulai esok.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan istiadat pembukaan.

Semua termasuk wakil rakyat dan pengamal media disyarat lengkap dua dos vaksin dan membuat saringan sebelum hadir ke persidangan itu. Individu bergejala juga tidak digalak hadir.

Isu yang dijangka dibahas ahli dewan antaranya belanjawan negeri, bencana banjir dan persediaan negeri menghadapi fasa endemik.

Speaker DNS Ng Suee Lim juga memberi jaminan semua wakil rakyat diberi masa secukupnya bagi membahas pelbagai isu kepentingan rakyat.

"Kita akan melaksanakan persidangan mengikut jadual selama dua minggu dan saya akan memberi masa secukupnya kepada semua wakil rakyat untuk berbahas," katanya.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh disaksikan menerusi pautan https://selangortv.my/ dan Facebook MediaSelangor manakala laporan ucapan dan perbahasan boleh diikuti melalui portal selangorkini.my

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.