ad
AGENDA

Wanita positif Covid-19 hadir di tempat mengundi dikompaun

12 Mac 2022, 9:21 AM
Wanita positif Covid-19 hadir di tempat mengundi dikompaun

JOHOR BAHRU, 12 MAC: Seorang wanita yang positif Covid-19 dikenakan kompaun kerana hadir di tempat mengundi Pilihan Raya Negeri Johor di Dewan Kampung Melayu di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata siasatan awal pihaknya mendapati wanita itu positif Covid-19 Kategori 2.

Wanita berkenaan dikenakan kompaun pada 11.45 pagi oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi kesalahan pengundi positif Covid-19 hadir di tempat mengundi.

"Pihak JKN sentiasa komited menjalankan pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) Pilihan Raya Negeri Johor. Kami ingin mengingatkan bahawa individu positif (Covid-19) adalah dilarang untuk keluar dari tempat isolasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Aman berkata kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan kompaun mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dewan Kampung Melayu adalah antara pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Larkin.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.