ad
AGENDA

449 mangsa banjir di Selangor, dua negeri lain ke pusat pemindahan

10 Mac 2022, 2:59 AM
449 mangsa banjir di Selangor, dua negeri lain ke pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Seramai 449 mangsa daripada 120 keluarga di Johor, Melaka dan Selangor dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), susulan banjir setakat 8 pagi ini.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada jam 8 pagi ini, yang dimuat naik di Facebook rasminya, 202 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan ke tiga PPS yang dibuka semalam di Kluang, Johor.

Tiga PPS di Kluang adalah Dewan Kolam Air, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kenchana dan SK Sungai Linau manakala di Melaka, ia melibatkan daerah Jasin dengan seramai 40 individu daripada 11 keluarga dipindahkan di PPS SK Parit Penghulu, yang dibuka Selasa (8 Mac).

Sementara itu, di Selangor, seramai 207 individu daripada 55 keluarga di daerah Kuala Langat dan Sepang, dipindahkan ke empat PPS yang beroperasi.

Kesemua PPS berkenaan adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang dan SK Kota Warisan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.