ad
AGENDA

SPR: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

8 Mac 2022, 1:22 PM
SPR: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

JOHOR BAHRU, 8 MAC: Sebanyak 87 peratus atau 18,625 individu telah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), serta pasangan masing-masing.

"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Supt Ibrahim Mat Som berkata seramai 9,775 orang atau 84.3 peratus daripada 11,576 warga PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal telah keluar mengundi di seluruh negeri ini.

Katanya antara sebab peratusan mengundi dalam kalangan anggota polis tidak mencapai 100 peratus adalah disebabkan pengundi dikuarantin akibat dijangkiti Covid-19.

“(Juga kerana) bertukar tempat tugas ke kontinjen lain, bersara, meninggal dunia dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya menambah tahap keselamatan semasa proses pengundian berjalan dengan aman, lancar serta terkawal.

Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.