ad
BERITA UTAMA

Bazar Ramadan: Peniaga MBSJ wajib sedia e-dompet, cegah penularan wabak

8 Mac 2022, 10:15 AM
Bazar Ramadan: Peniaga MBSJ wajib sedia e-dompet, cegah penularan wabak

PUCHONG, 8 MAC : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mewajibkan peniaga bazar Ramadan di bawah pentadbirannya menggunakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya.

Datuk Bandar Dato' Johary Anuar berkata penggunaan e-dompet itu bertujuan mengurangkan sentuhan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

"Pihak MBSJ akan membuat semakan dan pemantauan bagi memastikan semua peniaga menyediakan kemudahan e-dompet di gerai masing-masing.

"Usaha ini juga diharap agar lebih ramai pengunjung bazar dapat mempraktikkan amalan tanpa tunai di samping menjadikan kaedah tersebut sebagai pembayaran utama di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan MBSJ 2022 di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah di sini hari ini.

Menurutnya, semua peniaga juga diwajib mempamerkan jenis saluran e-dompet yang boleh diguna oleh pelanggan di gerai masing-masing.

Beliau berkata MBSJ turut bekerjasama dengan rakan sinergi bagi menjayakan kaedah tanpa tunai itu antaranya Maybank Berhad, AmBank Islamic Berhad, Touch n Go dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Tahun ini, seramai 764 peniaga di 16 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

Pada 26 November tahun lepas, Dato' Menteri Besar berkata Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet pada tahun ini bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.