ad
AGENDA

MPSepang: Pengguna dibenar tuntut bayaran kupon parkir bergores

27 Feb 2022, 12:52 PM
MPSepang: Pengguna dibenar tuntut bayaran kupon parkir bergores

SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membenarkan individu yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata ia susulan pemansuhan penggunaan kupon bergores pada akhir Mac ini berikutan penguatkuasaan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

Katanya, tuntutan bayaran balik itu boleh dibuat kepada Suasa Efektif (M) Sdn Bhd (Suasa Efektif) selaku syarikat pengendali parkir tempatan.

“Kita menyambut baik langkah Kerajaan Negeri supaya kupon parkir bergores tidak lagi dilaksanakan dan digantikan dengan e-kupon menjelang 1 April ini.

“Jadi, mereka yang sudah membeli kupon tetapi masih belum digunakan boleh buat tuntutan semula,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.

Beliau berkata, MPSepang juga akan mempertingkatkan kempen bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem bayaran parkir digital sepenuhnya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT negeri ini sehingga akhir Mac.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.