ad
AGENDA

Pasar Seni Genta berlangsung meriah, lonjak industri kreatif

26 Feb 2022, 8:19 AM
Pasar Seni Genta berlangsung meriah, lonjak industri kreatif
Pasar Seni Genta berlangsung meriah, lonjak industri kreatif

SHAH ALAM, 26 FEB: Pasar Seni Genta di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam dekat sini hari ini, berlangsung meriah mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Program julung kali anjuran Galeri Shah Alam dan Rumah Seni Selangor (RUSSEL) menampilkan 30 pengusaha barangan seperti seni, kraf, buku serta makanan dan minuman.

Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah berkata acara dari jam 9 pagi hingga 9 malam turut menyajikan persembahan akustik, baca puisi, bengkel seni dan pelancaran buku.

"Tanpa mengenepikan SOP pandemik Covid-19, program ini tetap dilaksanakan bagi mengisi kelompongan ranah yang sekian lama beku dan bisu di Shah Alam khususnya," katanya ketika ditemui.

Persembahan puisi menampilkan Aliff Awan, Syahirah Wasabi, Leia Hassan, Jack Malik dan Mosyuki Borhan manakala nyanyian Band Mim, Band Motherwit, Band Wani Ardy serta Band Runs.

Beliau berkata Pasar Seni Genta memberi ruang kepada pengusaha barangan kraf dan seni memasarkan produk masing-masing dengan bayaran tapak serendah RM30.

"Begitu juga dengan peserta seni kreatif yang lain seperti penyanyi, kumpulan muzik dan sastera.

"Dengan cara ini akan melonjakkan ekonomi seni kreatif tempatan yang kini sedang dalam pacuan untuk bangkit kembali," katanya lagi.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Galeri Shah Alam melalui pautan https://galerishahalam.com/ untuk maklumat lanjut.

[caption id="attachment_510519" align="aligncenter" width="500"] Pengunjung melihat lukisan pelukis ilustrasi, Mohd Norazmi Mohd Mokhtar, 42, sempena Pasar Seni Genta di perkarangan Laman Budaya Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.