ad
AGENDA

Selangor Fruit Valley raih untung setiap bulan, anjur pelbagai aktiviti tarik pelancong

4 Feb 2022, 3:21 PM
Selangor Fruit Valley raih untung setiap bulan, anjur pelbagai aktiviti tarik pelancong

SHAH ALAM, 4 FEB: Selangor Fruit Valley (SFV) berjaya meraih keuntungan setiap bulan sejak aktiviti pelancongan dibuka semula pertengahan Oktober tahun lepas.

Pengurus Pemasaran Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata kutipan itu diperoleh menerusi jualan tiket, barangan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran selain penganjuran aktiviti serta seminar.

"Ketika banyak pusat pelancongan lain mengalami kerugian dan berusaha untuk bangkit semula, SFV masih mampu bertahan malah operasi berjalan agak baik sehingga ke hari ini.

"Kita turut mendapat maklum balas positif dengan rata-rata pengunjung teruja merasai pengalaman baharu melalui pelbagai aktiviti dan program disediakan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan pengeluaran sayur dan buah di ladang SFV semakin bertambah sekali gus menjamin rantaian bekalan makanan negeri ini.

"Ladang utama kita beroperasi sepenuhnya dan tidak henti-henti mengeluarkan hasil," katanya.

Terletak di Bestari Jaya, SFV membabitkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.