ad
AGENDA

Lima sekolah agama terjejas bah mohon dana baik pulih infrastruktur

3 Feb 2022, 1:00 PM
Lima sekolah agama terjejas bah mohon dana baik pulih infrastruktur

SHAH ALAM, 3 FEB: Lima sekolah agama di negeri ini yang terjejas banjir pada Disember tahun lalu memohon bantuan baik pulih infrastruktur setakat ini.

Dato' Menteri Besar berkata permohonan diterima dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Tun Perak (Hulu Langat), Sekolah Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi As Sufla (Petaling) dan SRA Al Hidayah, Taman Tun Teja (Gombak).

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari dua lagi melibatkan Sekolah Rendah Assiddiqin, Bandar Tasik Puteri Rawang (Gombak) dan SRA Merbau Sempak (Petaling).

"Sekolah terbabit dikenal pasti hasil penelitian dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Ini adalah sekolah agama yang terkesan di Selangor hasil lawatan dibuat oleh pihak terbabit. Kita mempunyai satu (sekolah) anggaran (kos baik pulih) RM1.8 juta, yang lain belum dimuktamadkan," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata kerja pembaikan tersebut akan dilaksana segera supaya operasi sekolah agama berjalan dengan baik.

"Ia juga bagi memastikan proses penyampaian pendidikan kepada anak-anak dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya lagi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.