ad
AGENDA

Kementerian setuju tanggung bayaran UPUOnline, Unik ID

3 Feb 2022, 3:31 AM
Kementerian setuju tanggung bayaran UPUOnline, Unik ID

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/Unik ID kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2022/2023.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata melalui usaha itu, permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) boleh dibuat terus di laman sesawang upu.mohe.gov.my.

Beliau berkata tempoh permohonan ditetapkan bermula esok (4 Februari) hingga 31 Mac ini bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), lepasan matrikulasi serta diploma atau setaraf.

"Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan serta kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membuat permohonan UPUOnline.

"Justeru, KPT berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah," katanya dalam kenyataan.

Pada tahun lepas, KPT bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran itu kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.