ad
AGENDA

Jawatankuasa khas urus perubahan iklim negeri, sedia perihal bencana

24 Jan 2022, 5:17 AM
Jawatankuasa khas urus perubahan iklim negeri, sedia perihal bencana

SHAH ALAM, 24 JAN: Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi mengurus perkara berkaitan perubahan iklim negeri ini, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata badan diketuai EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian bertanggungjawab meramal dan merangka strategi bagi mendepani kemungkinan bencana.

“Saya sudah bangkitkan pada mesyuarat EXCO yang lepas. Jadi, dalam tempoh seminggu dua lagi akan ditubuhkan (jawatankuasa perubahan iklim).

“YB Hee Loy Sian akan memanggil tokoh akademik dan NGO (badan bukan kerajaan) alam sekitar untuk kita sedia mendepani sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Amirudin menambah jawatankuasa tersebut juga akan meneliti kesan sampingan lain seperti harga makanan dan keselesaan hidup rakyat.

"Ini akan bermula dengan mengelakkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global dengan menjaga penggunaan karbon, pembangunan mesra alam serta pemeliharaan kawasan hijau," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.