ad
AGENDA

Sultan benar gunakan sepenuhnya ruang masjid untuk solat Jumaat

18 Jan 2022, 6:30 AM
Sultan benar gunakan sepenuhnya ruang masjid untuk solat Jumaat

SHAH ALAM, 18 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat dan ruang limpah masjid dan surau bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan membenarkan penetapan jarak satu meter antara jemaah.

Dato' Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan surat ketetapan berhubung kebenaran itu akan dikeluarkan dan diedarkan kepada 427 masjid serta 316 surau terlibat dalam tempoh terdekat.

"Ketetapan ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah jemaah dibenarkan melalui ketetapan terakhir Jais pada November lalu.

"Ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kepada jemaah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berharap ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda dalam mengerjakan solat Jumaat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.