ad
AGENDA

Kegiatan sijil vaksin palsu bawa mudarat, boleh jadi punca peningkatan kes

13 Jan 2022, 2:42 PM
Kegiatan sijil vaksin palsu bawa mudarat, boleh jadi punca peningkatan kes

KOTA KINABALU, 13 JAN: Pihak berkuasa diminta terus menjalankan siasatan terperinci bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan sijil vaksinasi COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata penipuan membabitkan sijil vaksinasi itu merupakan perkara yang tidak boleh dimaafkan kerana ia akan memudarat serta mendedahkan orang ramai kepada pandemik COVID-19.

"Bagi saya, kita tidak akan kompromi penipuan sijil vaksinasi COVID-19… ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan saya gembira bila pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap individu tertentu.

"Namun siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan dan ambil kesempatan dalam musibah yang melanda dunia perlu ditangani dengan segera," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Hishammuddin juga berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu boleh menyebabkan kes COVID-19 di negara ini meningkat.

"Mereka akan menjejaskan orang yang tidak berdosa… kita tahu sekarang ada varian yang lebih berbahaya iaitu Omicron dan kita tidak mahu kes COVID-19 kembali meningkat," katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.