ad
EXCO

64 anak yatim, murid susah sekitar Kinrara terima kelengkapan sekolah

17 Dis 2021, 1:17 PM
64 anak yatim, murid susah sekitar Kinrara terima kelengkapan sekolah

PUCHONG, 17 DIS : Seramai 64 anak yatim dan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima sumbangan kelengkapan persekolahan hari ini.

Antara barangan yang diberikan menerusi program kembali ke sekolah anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) itu adalah set pakaian sekolah, kasut, stoking, beg, seluar sukan dan pelitup muka melibatkan peruntukan berjumlah RM10,000.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata bantuan itu disalurkan kepada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kinrara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yak Chee, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puchong Jaya, dan SMK Pusat Bandar Puchong (1).

"Terima kasih kepada KDEBWM, inisiatif ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran dengan baik sekali gus mempertingkatkan prestasi akademik.

"Semoga bantuan ini juga sedikit sebanyak meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan buat anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada pelajar terpilih di Dewan Serbaguna MBSJ BK5, Kinrara di sini hari ini.

Sementara itu, Sze Han berkata DUN Kinrara turut menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan dan individu yang memerlukan boleh tampil ke pusat khidmat masyarakat (PKM).

"Setakat ini kita terima hampir 300 permohonan, sesiapa berminat boleh hubungi atau hadir sendiri ke PKM DUN Kinrara," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.