ad
AGENDA

Dron bantu tingkat hasil, tambah pendapatan petani

15 Dis 2021, 4:59 AM
Dron bantu tingkat hasil, tambah pendapatan petani

SHAH ALAM, 15 DIS: Penggunaan dron dalam pertanian dapat meningkatkan produktiviti sekali gus menambah pendapatan petani, kata ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata teknologi itu perlu diperluas dengan kaedah holistik termasuk mengadakan program khusus atau kursus pendek bagi mengendalikannya.

“Apabila teknologi dron digunakan dalam sektor pertanian iaitu melibatkan racun serangga, pengairan dan pembajaan, ia dapat menjana pendapatan golongan petani dengan lebih efisien," katanya.

Beliau bercakap pada program Table Talk yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV baru-baru ini.

Penggunaan dron dalam sektor tanaman padi mula diteroka beberapa negeri termasuk Selangor berikutan mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu sehingga 10 peratus.

Belanjawan Selangor 2022 yang dibentang November lalu memperuntuk RM2.34 bilion bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negeri.

Antara inisiatif diumum ialah menjadikan Sabak Bernam sebagai hab pengeluaran makanan utama dengan pelaburan bernilai RM1.08 juta untuk membangunkan industri hiliran sektor itu.

Turut diumumkan program kepintaran buatan dan pembangunan dron serta program ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan penerbangan di Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.