ad
BERITA UTAMA

Selangor teliti kaedah bantu pembeli tukar hak milik strata

1 Dis 2021, 11:55 PM
Selangor teliti kaedah bantu pembeli tukar hak milik strata

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri meneliti cadangan memudahkan pembeli unit pangsapuri menukar hak milik strata selepas menduduki kediaman bagi meringankan beban mereka.

Ia berikutan ramai pembeli tidak mampu menyempurnakan pindah milik kerana kos tinggi sekali gus mengekang penubuhan badan pengurusan bersama (JMB), kata EXCO kerajaan tempatan.

"Antara cadangan ialah memasukkan kos pindah milik pada peringkat awal pembelian hartanah dan bank selaku pihak yang membiayai pinjaman mengambil kira kos tersebut," kata Ng Sze Han.

Beliau mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata sebanyak 549 pangsapuri kos rendah di negeri ini belum mempunyai JMB atas alasan fizikal bangunan yang uzur dan keengganan pemaju mengadakan mesyuarat pertama.

"Kita mewujudkan program bantuan pemulihan secara tunai untuk skim strata yang uzur dan tiada JMB bagi menaikkan semangat penduduk menubuhkannya serta mempergiat kempen kesedaran," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.