ad
AGENDA

KPM keluar surat pemakluman jalankan saringan Covid-19 murid

27 Nov 2021, 2:40 PM
KPM keluar surat pemakluman jalankan saringan Covid-19 murid

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan surat pemakluman berhubung pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM turut menyarankan supaya ketetapan itu juga terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah kementerian berkenaan.

“KPM menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran selaras dengan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan (NTS) yang ditetapkan oleh KKM.

“KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri Covid-19 ke sekolah rendah KPM bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan sepertimana tatacara pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara mingguan bermula Isnin ini (29 Nov).

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada NTS selain bertujuan mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

Khairy berkata ujian saringan berkenaan perlu dilaksanakan kepada murid tanpa mengira sama ada mereka bergejala atau tidak.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.