ad
AGENSI

Selangor belanja RM16.5 juta bantu B40 luas perniagaan

22 Nov 2021, 6:29 AM
Selangor belanja RM16.5 juta bantu B40 luas perniagaan

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM16.5 juta bagi membantu 4,811 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan meningkatkan usaha niaga sejak 2008.

Bantuan meliputi alatan niaga secara percuma dengan syarat tidak melebihi RM5,000 bagi menambah baik prestasi mereka, kata wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin.

Beliau berkata bantuan termasuk mesin jahit, peti sejuk, ketuhar, dapur tungku bergerak, perkakas membaiki basikal dan mesin pengisar buah-buahan bersaiz gergasi.

Turut diberikan ialah komputer riba, mesin khas pengupas dan pemotong bawang, peralatan set meja, kerusi dan payung penjaja.

"Umumnya melalui program ini, Kerajaan Negeri membantu membeli alatan diperlukan peniaga yang disaring dan layak untuk meningkatkan lagi prestasi perniagaan masing-masing," katanya di Facebook.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor menyasar golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai kemahiran untuk berniaga.

Antara perusahaan yang boleh diceburi termasuk jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.