ad
AGENDA

Ahmad Zahid, Ab Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP PRN Melaka

21 Nov 2021, 7:14 AM
Ahmad Zahid, Ab Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 akibat gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua pemimpin itu didapati menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

“Kompaun itu dikeluarkan terhadap Ahmad Zahid dan Ab Rauf susulan siasatan ke atas sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan dua individu berkenaan gagal mematuhi SOP di sekitar mukim Masjid Tanah, daerah Alor Gajah, dua hari lepas,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.