ad
BERITA UTAMA

SIBS 2021 diiktiraf, kukuh reputasi gerbang pelaburan Asean

21 Nov 2021, 6:40 AM
SIBS 2021 diiktiraf, kukuh reputasi gerbang pelaburan Asean

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menjadi pemangkin negeri mengukuh kedudukan sebagai gerbang pelaburan Asean.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato' Teng Chang Khim menyifatkan anugerah itu satu kebanggaan buat Selangor yang juga negeri pertama mengadakan acara perniagaan terbesar tahun ini.

Beliau berkata SIBS dianjurkan mulai 2012 dengan hanya satu acara iaitu Ekspo Selangor Antarabangsa sebelum berkembang kepada sembilan program termasuk secara dalam talian tahun lalu.

"Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada Selangor untuk mara dan mengukuhkan kedudukan sebagai pintu gerbang Asean seterusnya menuju cita-cita ke arah hab perdagangan global," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan penyerahan sijil penghargaan MBOR kepada Invest Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sidang itu yang dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berlangsung secara hibrid mulai 18 November dan berakhir hari ini.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara lain termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.