ad
AGENDA

RM2.19 juta bantuan basmi kemiskinan tahun ini, manfaat lebih 500 individu

11 Nov 2021, 5:00 AM
RM2.19 juta bantuan basmi kemiskinan tahun ini, manfaat lebih 500 individu

BANGI, 11 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.19 juta menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan pada tahun ini, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

V Ganabatirau berkata seramai 529 individu mendapat manfaat peruntukan itu menerusi pemberian peralatan bantuan perniagaan setakat Ogos lalu.

"Secara keseluruhan, sejak 2008 hingga Ogos lalu seramai 5,035 peniaga berjaya dibantu menerusi program ini dengan peruntukan lebih RM16.6 juta.

"Pelbagai inisiatif diambil Kerajaan Negeri dengan merangka program-program bantuan yang dapat menjana pendapatan dan tidak mengabaikan sosioekonomi rakyat," katanya.

Terdahulu, Ganabatirau menyerahkan sumbangan mesin jahit tepi kepada penerima Nur Faralia Mohammad Hafiz di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat hari ini.

Dalam pada itu, Ganabatirau berharap penerima dapat memanfaatkan bantuan yang diterima untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

"Covid-19 mengakibatkan pendapatan, perniagaan rakyat terjejas. Kita berharap dengan adanya bantuan ini dapat dijadikan sumber bagi meningkatkan pendapatan," katanya.

Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor bermula sejak 2008 dengan memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.