ad
PBT

Kilang 'biak' aedes di Gombak diarah tutup dua minggu

4 Nov 2021, 12:53 AM
Kilang 'biak' aedes di Gombak diarah tutup dua minggu

SHAH ALAM, 4 NOV: Sebuah kilang di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, Gombak diarah tutup selama 14 hari selepas dikesan menjadi sarang pembiakan aedes.

Penutupan berkuat kuasa 1 hingga 14 November bagi membolehkan kerja pembersihan sekitar premis Teknitek Services (M) Sdn Bhd, maklum pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mohamad Zin Masoad berkata pemeriksaan pada 28 Oktober lalu mengecam larva nyamuk spesies aedes dari premis terbabit yang boleh mengakibatkan denggi.

"Unit kawalan denggi MPS akan memantau secara berkala sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan pemilik mematuhi syarat ditetapkan sebelum premis dibenarkan beroperasi semula," katanya dalam kenyataan.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 8, Sub Seksyen 3(a) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000.

Sementara itu, Mohamad Zin berkata sebanyak 1,695 kes denggi direkodkan di Selayang sejak Januari hingga September lalu membabitkan satu kematian.

Katanya, tiga titik panas kes denggi turut dikenal pasti di seluruh kawasan pentadbiran MPS sepanjang tempoh berkenaan.

"Orang ramai dinasihat meningkatkan tahap kebersihan dan aktiviti pencegahan seperti memastikan tiada bekas atau tempat berpotensi pembiakan aedes ditinggalkan di persekitaran masing-masing," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.