ad
BERITA UTAMA

Air pasang besar, MPKL gesa orang ramai jauhi kawasan pantai

30 Okt 2021, 3:39 AM
Air pasang besar, MPKL gesa orang ramai jauhi kawasan pantai

SHAH ALAM, 30 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula pada 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

"Antara kawasan dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

"Justeru, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Amirul Azizan menasihatkan sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.

Beliau berkata orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku keadaan tersebut.

"Orang ramai khususnya penduduk di daerah ini diminta tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh ditetapkan memandangkan kesemua kawasan peranginan pantai terlibat akan ditutup sepenuhnya," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.