ad
AGENDA

MB: 88 peratus terima semula bekalan air, empat wilayah pulih sepenuhnya

15 Okt 2021, 3:06 PM
MB: 88 peratus terima semula bekalan air, empat wilayah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 15 OKT: Bekalan air di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat, Shah Alam dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya setakat 9 malam tadi, maklum Dato' Menteri Besar.

Berdasarkan infografik dikongsi Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook, Petaling mencapai 99.5 peratus pulih, Gombak (92.5), Kuala Lumpur (75) sementara Klang dapat bekalan hingga 52.2 peratus.

“Setakat jam 9 malam tadi, saya dimaklumkan 88 peratus kawasan telah menerima bekalan air.

"Lori-lori tangki dan tangki statik akan terus digerakkan dan disediakan bagi membantu pengguna yang belum menerima bekalan air,"katanya.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terlibat kerja naik taraf aset loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 mencapai tahap 88 peratus.

Menjangkakan bekalan pulih sepenuh pada 9 malam esok, Air Selangor menjelaskan tempoh pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan air.

Syarikat itu turut menasihatkan pengguna yang menerima bekalan agar menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan lain berjalan lancar.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.

Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.