ad
AGENDA

JPN kemas kini alamat pemilih SPR pada MyKad

8 Okt 2021, 9:45 AM
JPN kemas kini alamat pemilih SPR pada MyKad

PUTRAJAYA, 8 OKT: Proses pengemaskinian alamat pemilih susulan pelaksanaan Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dilakukan, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JPN dalam kenyataan memaklumkan proses itu adalah lanjutan daripada pengumuman SPR yang meminta pemilih supaya mengemas kini alamat pada kad pengenalan (MyKad) sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan.

“Bagi proses pengemaskinian alamat, pemohon boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKad tanpa perlu membuat janji temu,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut JPN pemohon perlu membawa salah satu dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti, cukai pintu, cukai taksiran atau borang taksiran cukai pendapatan atau menggunakan perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon.

JPN menjelaskan pemohon yang tidak mempunyai dokumen sokongan seperti bil utiliti atau perjanjian jual beli rumah perlu mendapatkan dokumen sokongan daripada ketua kampung, tuai rumah, penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka.

"Pemohon diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah," menurut JPN.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel ke [email protected]

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.