ad
SELANGOR

Bayi lebam pada anggota badan selepas dihantar pertama kali kepada pengasuh

6 Okt 2021, 1:55 AM
Bayi lebam pada anggota badan selepas dihantar pertama kali kepada pengasuh

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan lebam pada muka, pipi, telinga kiri dan paha kiri selepas dihantar kepada seorang pengasuh di Taman Selayang Jaya, Selayang, dekat sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kesan lebam itu disedari ibu bayi berkenaan yang berumur 40 tahun selepas mengambil anaknya yang berada di bawah jagaan pengasuh tersebut.

"Siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah pengasuh tersebut buat pertama kali pada kira-kira 9 pagi dan diambil semula oleh ibunya pada 4.30 petang hari yang sama.

"Semasa berada di rumah, ibu bayi tersebut menyedari kesan lebam kemerahan pada anggota badan anaknya lalu membuat laporan polis pada 6.30 petang," katanya dalam kenyataan semalam.

Zainal Mohamed berkata pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada paha kiri serta bahagian muka sebelah kiri dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang.

"Keterangan suspek iaitu seorang wanita tempatan berumur 60 tahun telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (pengabaian kanak-kanak) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.