ad
AGENDA

Judi tanpa lesen, dasar kewangan PKS fokus Dewan Rakyat hari ini

4 Okt 2021, 12:49 AM
Judi tanpa lesen, dasar kewangan PKS fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Perihal berkaitan judi tanpa lesen dan dasar kewangan jangka panjang serta perancangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara yang bakal dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Cha Kee Chin (PH-Rasah) akan bertanya Menteri Dalam Negeri mengenai langkah kerajaan untuk membanteras kegiatan judi nombor 4D tanpa lesen, kerana kewujudannya menjejaskan hasil kutipan cukai kerajaan.

Selain itu, Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) akan meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan dasar kewangan jangka panjang dan perancangan untuk membantu PKS serta industri terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik Covid-19.

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari terakhir, hari ini selepas RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lepas.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, ia akan disusuli dengan jawapan daripada menteri selama tiga hari bermula esok.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.